Thursday, September 6, 2018

Guru muda dari Keningau asal Kota Belud terus cemerlang di persada dunia

Tags

Mohd Sirhajwan Idek

Mencipta nama bukan untuk diri sendiri tetapi demi profession, bangsa dan negara.

Atas dasar itu, guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, tidak lelah malah terus berusaha demi meraih kemenangan dalam pelbagai pertandingan dan anugerah pendidikan termasuk di peringkat global. Kolej itu terletak kira-kira 105 kilometer dari Kota Kinabalu.

Nama beliau bukanlah asing terutamanya dalam dunia pendidikan kerana berkali-kali menjulang dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Pencapaian terbaharu beliau adalah memenangi pingat emas kategori ‘Think Tales’ dalam World Invention Innovation Contest (WIC) di Convention Centre – Chungmu Art Centre, Seoul, Korea Selatan, pada Jun baru-baru ini.


Beliau bersama-sama 2 guru lain dan beberapa pelajar kolej itu yang mewakili Malaysia berjaya merangkul 4 pingat emas, dengan mengalahkan peserta dari 9 negara lain iaitu Amerika Syarikat, Filipina, Mesir, Sri Lanka, Taiwan, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Sumbangan untuk negara

Terdahulu, Mohd Sirhajwan juga menerima anugerah Community Award for Citizenship daripada sebuah pertubuhan antarabangsa – Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards – di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Mac atas sumbangannya kepada komuniti pendidikan.

Beliau juga pernah meraih tempat naib johan bagi Innovation in Teaching of Research Methodology Excellence Award (Rome, 2018), pemenang global Express Publishing International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) Scholarship (Brighton UK, 2018), juara dunia pertandingan Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award (Paris, 2017) dan memenangi global Macmillan Teachers at My Heart (Norwich UK, 2016).

Selain itu, beliau pernah tersenarai sebagai peserta akhir bagi beberapa pertandingan antarabangsa ‘Global Teacher Prize 2017’, ‘GESS Outstanding Contribution in Education Award 2018’, ‘Bett Asia Collaboration Award 2017’, ‘Commonwealth Class Story Writing Teacher Category 2016’ dan ‘SEAMEO Australia Education Link Award 2015’.

Lulusan Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), beliau berhasrat membuktikan kepada umum iaitu profesion perguruan mampu menempah nama di peringkat global setanding bidang lain.

“Contohnya dalam bidang sukan, sekiranya atlet mampu mengharumkan nama negara dengan pingat yang dimenangi maka guru-guru dan kalangan pelajar juga mampu berbuat seumpama itu melalui pelbagai pencapaian berkaitan.

“Kesemua kejayaan dan pencapaian itu adalah sumbangan untuk negara yang kita sayangi, Malaysia,” kata beliau pada Bernama.

Keazaman jitu

Beliau berkata sebagai duta kecil Malaysia ke pertandingan-pertandingan berkaitan pendidikan di peringkat antarabangsa, beliau sering berkongsi banyak maklumat mengenai Malaysia dengan masyarakat dunia.

“Selain ingin memaparkan kemampuan dan pencapaian sektor pendidikan di Malaysia, saya juga menunjukkan kepada dunia, Malaysia adalah negara yang gigih untuk maju serta mampu bersaing di peringkat global.

“Saya juga mahu dunia tahu mengenai keindahan masyarakat berbilang kaum yang kaya dengan tradisi di Malaysia,” tambah beliau.

Mohd Sirhajwan yang juga penerima Ikon Guru peringkat kebangsaan, negeri Sabah dan daerah Keningau pada 2017 berkata beliau sentiasa yakin dan mempunyai kesungguhan untuk berjaya hingga ke tahap antarabangsa.


Beliau berhasrat membantu memberi keyakinan dan motivasi kepada rakyat Malaysia, terutama generasi muda, yang mereka boleh mencapai kejayaan sekiranya ada kemahuan dan keazaman jitu untuk mencapai sesuatu.

“Saya ingin membuktikan tidak kira siapa diri anda dan dari mana asalnya, tiada yang dapat menghalang anda daripada mencapai cita-cita biarpun di peringkat global.

“Saya mendapat pendidikan dalam negara dan bekerja di kawasan pedalaman iaitu Keningau. Namun, saya mampu memenangi beberapa pertandingan antarabangsa dengan menewaskan peserta-peserta negara lain termasuk dari negara maju,” tambah beliau yang berketurunan Bajau dan merupakan anak kelahiran Kampung Taun Gusi, Kota Belud, kira-kira 17 kilomenter dari sini.

Dorongan hebat

Tidak pernah jemu mencari ilmu, beliau menegaskan ilmu sangat penting untuk memajukan diri selain membantu orang lain untuk maju.

Mohd Sirhajwan berkata, kejayaannnya itu sukar direalisasi tanpa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat negara ini.

“Sangat penting bagi rakyat Malaysia untuk mencintai keamanan negara bagi memastikan kehidupan kita sentiasa harmoni dan positif di peringkat negara, komuniti serta individu.

“Ini akan menjadi agak mustahil sekiranya rakyat tidak saling menyayangi dan menghormati. Selain itu, cinta kepada negara, komuniti dan asal usul kita merupakan dorongan hebat bagi kita dalam memberikan yang terbaik,” tegas beliau sambil menambah, beliau ingin menjadi kebanggaan Malaysia, terutamanya Sabah.

Beliau akan ke Indonesia pada September ini untuk menyertai pertandingan inovasi antarabangsa serta ke negara Brunei Darussalam pada November untuk membentangkan kajiannya di persidangan antarabangsa di sana.

Sumber: Bernama

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon