Wednesday, August 29, 2018

Kerajaan belum membincangkan status Baucer Buku 1Malaysia

Tags

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu bergantung kepada bajet dan akan diumumkan menteri pendidikan.

BB1M. Sekadar gambar hiasan

Baucer Buku 1Malaysia diperkenalkan sejak 2012, di mana setiap pelajar yang layak akan menerima baucer RM200 yang dinaikkan kepada RM250 pada 2013. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan belum memutuskan sama ada akan meneruskan pemberian Baucer Buku 1Malaysia kepada pelajar universiti dan pra universiti yang layak pada tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya belum membincangkan status baucer itu yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

“Kita (kementerian) belum buat apa-apa perbincangan mengenai perkara ini, semua akan bergantung kepada bajet dan sebarang pengumuman berhubung baucer tersebut akan dibuat oleh menteri pendidikan sendiri,” katanya selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof Abdul Rahman Omar.


Teo mengulas status baucer itu susulan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurangkan perbelanjaan negara, termasuk bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti diumumkan Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Baucer buku yang diperkenalkan sejak 2012 itu diberikan kepada pelajar yang layak, di mana setiap pelajar menerima baucer bernilai RM200 sebelum bantuan itu dinaikkan kepada RM250 pada 2013.

Sementara itu, Teo dalam ucapannya menyeru semua pihak, termasuk pemain industri pendidikan menguasai bidang sains dan teknologi dalam usaha menjayakan tranformasi pendidikan negara.

Katanya, langkah itu perlu supaya masyarakat Malaysia menjadi sebuah bangsa yang mampu mencipta, meneroka dan menginovasi produk serta perkhidmatan, sekaligus dapat mengharungi cabaran di peringkat gobal.

“Pemikiran lama sebagai bangsa pengguna atau penerima teknologi harus diubah kepada bangsa yang mencipta, meneroka dan menginovasi.”

Sumber: Bernama

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon