Wednesday, November 14, 2018

Pelajar dan guru di sekolah juga terlibat dalam skandal rasuah!

PUTRAJAYA - Perlakuan rasuah turut berlaku di sekolah serta melibatkan murid, demikian dedah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Mohd Shukri Abdull

Pada Forum Permuafakatan SPRM-Kementerian Pendidikan di Putrajaya pada 13 November lepas, Mohd Shukri mendedahkan terdapat kes pelajar memberi wang rasuah kepada rakan sekelas bagi membolehkan dilantik sebagai ketua kelas dan ada juga kes untuk mendapat sokongan sebagai ketua pengawas.

"Kalau kecil-kecil macam ini sudah pandai bermain dengan duit macam mana nak harap mereka jadi pemimpin satu hari nanti," katanya ketika menjadi panel pada forum itu, sambil menegaskan kepentingan pendidikan awal benci rasuah diterapkan.

Di sekolah juga, dedahnya terdapat kes guru meminta 'seks' daripada pelajar untuk lulus peperiksaan.

Mohd Shukri berkata SPRM sudah mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan dan bertemu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib peperiksaan di sekolah.

Beliau menegaskan budaya anti rasuah perlu ditanam dalam diri pelajar dari peringkat awal lagi bagi mengelak ia merebak mereka apabila dewasa.

"Biar peringkat awal ditanam benci rasuah kerana kerana keadaan rasuah ketika ini amat membimbangkan," katanya.

Mohd Shukri pada forum itu berkata pelakuan rasuah yang berlaku di negara ini sangat memalukan dan amat membimbangkan sehingga hari ini negara luar memandang Malaysia sebagai negara kleptokrasi.

"Selalu orang bertanya rasuah di Malaysia meningkat atau turun, penceramah selalu tak berani nak cakap benar, selalu cakap rasuah di Malaysia ini boleh dikawal, lebih kurang macam itu.

"Tapi saya ini tak suka cakap tak benar, saya cakap terus terang, rasuah di Malaysia membimbangkan, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2014 markah kita 52 sahaja dan menunjukkan trend penurunan sehingga kepada 47 markah tahun lalu.

"Adakah indeks ini makin baik atau makin buruk? Ini adalah fakta, kita terkenal di mata dunia sebagai negara kleptokrasi, bukan negara integriti, memang memalukan," katanya.

Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 dikeluarkan Transparency International (TI) pada Februari lepas mendapati Malaysia mencatat penurunan daripada kedudukan ke-55 kepada kepada 62 daripada 180 negara.

Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam ditetapkan TI. -Sumber: Bernama

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

13 tahun permohonan pindah ditolak, guru kecewa mau 'lelong' 6 orang anak!

SHAH ALAM - Pastinya berita gembira buat para guru yang berjauhan dari keluarga setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (PM) meluluskan sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019.

FB cikgu Izzat

Bagaimanapun, perkhabaran gembira yang dimaklumkan oleh kementerian tidak sedikit pun memberi kecerian buat guru kepada enam cahaya mata ini.

Memetik Facebook Cikgu Izzat, dia terpaksa memuatnaik status seorang guru wanita yang kecewa keputusan permohonan pertukaran sekolah tidak diluluskan.

Lebih memilukan, guru berkenaan terpaksa menjaga enam orang anaknya sendirian hingga memaksa dirinya menyerahkan kesemua anaknya kepada sesiapa sahaja.

Kenyataan kecewa itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan kerana boleh mengundang kepada penyakit kemurungan.

"Kalau sudah sampai nak serah anak-anak kepada sesiapapun dan sampai kemurungan, apa yang KPM boleh buat?

"Menteri? Menteri mana ada amik kisah langsung hal pertukaran guru," katanya.

Beliau juga mempersoalkan pihak berkaitan tidak peka kepada masalah para guru sehinggakan pada satu tahap telah membuat permohonan selama 13 tahun tetapi permohonan ditolak.

Sedangkan graduan baharu ditempatkan di kampung halaman namun perkara itu tidak berlaku kepada guru yang berkhidmat lebih 10 tahun.

"Wahai YAB Dr Wan Azizah Wan Ismail , tolonglah cikgu ini. Beliau dah kecewa sampai nak serah sahaja anak-anak seramai enam orang kepada sesiapa.

"Mahukah lihat anak-anak dipisahkan? Cukuplah cikgu ini terpaksa hidup bersendirian, sekarang masih lagi nak dibiarkan berpisah dengan anak-anak?," katanya.

Katanya turut memetik nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membantu guru berkenaan dan mengutamakan kebajikan para guru.

Menerusi perkongsian di Facebook, status luahan guru wanita berkenaan mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dalam permohonan pertukaran guru pada 2019.

Katanya, dia telah berada selama 13 tahun di Johor ditemani enam orang anaknya kerana telah bercerai.

Kini, rumahnya telah dijual dan perlu mencari rumah sewa malah menyindir pegawai KPM agar menjaga anak-anaknya, sementara proses permohonan pertukaran guru diluluskan.

Guru berkenaan juga mengakui mengalami kemurungan dan menyatakan anak-anaknya berusia dua, tiga, tujuh, lapan, sembilan dan 14 tahun.

Sekiranya ada berminat kepada anak-anaknya boleh mesejnya di Facebook.

Status itu juga tular dan mendapat lebih 2,000 perkongsian dari netizen. -SINAR HARIAN

Share artikel ini kepada rakan anda.
Sharing is Caring

Friday, September 21, 2018

lima petua menghadapi peperiksaan yang wajib diketahui calon peperiksaan

Peperiksaan awam untuk UPSR, PT3, SPM, SPMU, STPM dan STAM akan berlangsung tidak lama lagi. Calon-calon sudah pasti sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran.

Berikut merupakan petua yang boleh diamalkan oleh calon apabila menghadapi peperiksaan;

INFOGRAFIK: BH Online

Jadual peperiksaan awam;
Baki hari menjelang peperiksaan



Baki hari menjelang peperiksaan

Semoga berjaya.

Thursday, September 6, 2018

Guru muda dari Keningau asal Kota Belud terus cemerlang di persada dunia

Mohd Sirhajwan Idek

Mencipta nama bukan untuk diri sendiri tetapi demi profession, bangsa dan negara.

Atas dasar itu, guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, tidak lelah malah terus berusaha demi meraih kemenangan dalam pelbagai pertandingan dan anugerah pendidikan termasuk di peringkat global. Kolej itu terletak kira-kira 105 kilometer dari Kota Kinabalu.

Nama beliau bukanlah asing terutamanya dalam dunia pendidikan kerana berkali-kali menjulang dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Pencapaian terbaharu beliau adalah memenangi pingat emas kategori ‘Think Tales’ dalam World Invention Innovation Contest (WIC) di Convention Centre – Chungmu Art Centre, Seoul, Korea Selatan, pada Jun baru-baru ini.


Beliau bersama-sama 2 guru lain dan beberapa pelajar kolej itu yang mewakili Malaysia berjaya merangkul 4 pingat emas, dengan mengalahkan peserta dari 9 negara lain iaitu Amerika Syarikat, Filipina, Mesir, Sri Lanka, Taiwan, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Sumbangan untuk negara

Terdahulu, Mohd Sirhajwan juga menerima anugerah Community Award for Citizenship daripada sebuah pertubuhan antarabangsa – Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards – di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Mac atas sumbangannya kepada komuniti pendidikan.

Beliau juga pernah meraih tempat naib johan bagi Innovation in Teaching of Research Methodology Excellence Award (Rome, 2018), pemenang global Express Publishing International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) Scholarship (Brighton UK, 2018), juara dunia pertandingan Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award (Paris, 2017) dan memenangi global Macmillan Teachers at My Heart (Norwich UK, 2016).

Selain itu, beliau pernah tersenarai sebagai peserta akhir bagi beberapa pertandingan antarabangsa ‘Global Teacher Prize 2017’, ‘GESS Outstanding Contribution in Education Award 2018’, ‘Bett Asia Collaboration Award 2017’, ‘Commonwealth Class Story Writing Teacher Category 2016’ dan ‘SEAMEO Australia Education Link Award 2015’.

Lulusan Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), beliau berhasrat membuktikan kepada umum iaitu profesion perguruan mampu menempah nama di peringkat global setanding bidang lain.

“Contohnya dalam bidang sukan, sekiranya atlet mampu mengharumkan nama negara dengan pingat yang dimenangi maka guru-guru dan kalangan pelajar juga mampu berbuat seumpama itu melalui pelbagai pencapaian berkaitan.

“Kesemua kejayaan dan pencapaian itu adalah sumbangan untuk negara yang kita sayangi, Malaysia,” kata beliau pada Bernama.

Keazaman jitu

Beliau berkata sebagai duta kecil Malaysia ke pertandingan-pertandingan berkaitan pendidikan di peringkat antarabangsa, beliau sering berkongsi banyak maklumat mengenai Malaysia dengan masyarakat dunia.

“Selain ingin memaparkan kemampuan dan pencapaian sektor pendidikan di Malaysia, saya juga menunjukkan kepada dunia, Malaysia adalah negara yang gigih untuk maju serta mampu bersaing di peringkat global.

“Saya juga mahu dunia tahu mengenai keindahan masyarakat berbilang kaum yang kaya dengan tradisi di Malaysia,” tambah beliau.

Mohd Sirhajwan yang juga penerima Ikon Guru peringkat kebangsaan, negeri Sabah dan daerah Keningau pada 2017 berkata beliau sentiasa yakin dan mempunyai kesungguhan untuk berjaya hingga ke tahap antarabangsa.


Beliau berhasrat membantu memberi keyakinan dan motivasi kepada rakyat Malaysia, terutama generasi muda, yang mereka boleh mencapai kejayaan sekiranya ada kemahuan dan keazaman jitu untuk mencapai sesuatu.

“Saya ingin membuktikan tidak kira siapa diri anda dan dari mana asalnya, tiada yang dapat menghalang anda daripada mencapai cita-cita biarpun di peringkat global.

“Saya mendapat pendidikan dalam negara dan bekerja di kawasan pedalaman iaitu Keningau. Namun, saya mampu memenangi beberapa pertandingan antarabangsa dengan menewaskan peserta-peserta negara lain termasuk dari negara maju,” tambah beliau yang berketurunan Bajau dan merupakan anak kelahiran Kampung Taun Gusi, Kota Belud, kira-kira 17 kilomenter dari sini.

Dorongan hebat

Tidak pernah jemu mencari ilmu, beliau menegaskan ilmu sangat penting untuk memajukan diri selain membantu orang lain untuk maju.

Mohd Sirhajwan berkata, kejayaannnya itu sukar direalisasi tanpa keamanan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat negara ini.

“Sangat penting bagi rakyat Malaysia untuk mencintai keamanan negara bagi memastikan kehidupan kita sentiasa harmoni dan positif di peringkat negara, komuniti serta individu.

“Ini akan menjadi agak mustahil sekiranya rakyat tidak saling menyayangi dan menghormati. Selain itu, cinta kepada negara, komuniti dan asal usul kita merupakan dorongan hebat bagi kita dalam memberikan yang terbaik,” tegas beliau sambil menambah, beliau ingin menjadi kebanggaan Malaysia, terutamanya Sabah.

Beliau akan ke Indonesia pada September ini untuk menyertai pertandingan inovasi antarabangsa serta ke negara Brunei Darussalam pada November untuk membentangkan kajiannya di persidangan antarabangsa di sana.

Sumber: Bernama

Wednesday, August 29, 2018

Adakah usaha pengiktirafan UEC mendapat bantahan dari tiga pemimpin utama kerajaan?

Sumber gambar: kickstory.net

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, mendakwa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berdepan laluan sukar untuk diiktiraf kerana perlu berdepan halangan tiga pemimpin besar Pakatan Harapan (PH).


Tiga pemimpin itu, menurut Lian Ker, adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sekadar gambar hiasan. Sumber: ttkm.com.my

Beliau menjadikan sejarah ketiga-tiga pemimpin terbabit ketika menjadi kerajaan sebelum ini yang tidak pernah bersetuju dengan sebarang usaha untuk membolehkan UEC diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.

“DAP berjanji UEC akan diiktiraf sebaik saja Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih kuasa Putrajaya. Pernah saya mengingatkan dan menegur ahli Parlimen Kulai (Teo Nie Ching) sebelum menjadi Timbalan Menteri Pendidikan supaya jangan sewenang-wenangnya berjanji kosong mengenai pengiktirafan UEC sekiranya DAP berkuasa nanti.

“Saya menasihati Yang Berhormat supaya mendapat persetujuan Perdana Menteri, Anwar dan Ahli Parlimen Pagoh yang menjadi penghalang pengiktirafan sijil UEC selama pemerintahan mereka.

“Kalau sebelum ini Barisan Nasional (BN) tidak meluluskan pengiktirafan UEC, ia adalah kerana kita mempunyai halangan daripada Ahli Parlimen Langkawi, Anwar dan Ahli Parlimen Pagoh,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mahu mengiktiraf UEC seperti yang terkandung dalam manifesto PH dan ia menimbulkan polemik apabila banyak pihak membantah kerana menganggapnya bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.

Lian Ker turut berkata, Ahli Parlimen Kulai perlu menyedari kerajaan hari ini berjanji akan mengiktiraf UEC sebaik saja mereka berkuasa.

“Apa lagi hendak berdalih, bukankah BN dan PH berjanji dalam manifesto mereka yang sijil UEC akan diiktiraf, maka itu bukan satu masalah kerana dua pihak mempunyai kata sepakat.

“Mengapa kita beranggapan akan berlaku pergaduhan kaum sedangkan PH mengatakan UEC diiktiraf di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor. Adakah ini alasan untuk melengahkan pengiktirafan sijil UEC,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lian Ker mendakwa, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian antara RM25 hingga RM30 bilion dalam bentuk pampasan, rombakan dan pemulihan kawasan jika membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Katanya, kerajaan perlu menumpukan usaha mencari jalan penyelesaian berbanding membatalkannya.

“Kalau kita menumpu kepada penyelesaian fasa pertama ECRL yang membabitkan 600 kilometer dari Gombak ke Kota Bharu, ia cuma memerlukan anggaran perbelanjaan RM46 bilion saja.

“Kalau kita menggunakan diplomasi G2G (kerajaan dengan kerajaan) untuk mengurangkan kos projek kepada RM35 bilion atau sebagainya, kita masih lagi boleh meneruskan ECRL fasa pertama dengan kos perbelanjaan yang dapat dikurangkan.

“Alternatifnya, kita harus meneruskan ECRL dari Pelabuhan Klang hingga ke Kuantan atau Kemaman untuk pengangkutan kargo saja,” katanya.

Sementara itu, di akhir perbahasannya, Lian Ker membaca puisi yang menarik perhatian ahli dewan.


‘Manifesto bukan lagi satu janji
Janji pada rakyat boleh dimungkiri
Dua tahun lagi Anwar jadi Perdana Menteri
Atau adakah Anwar akan ditipu lagi
Mengimbas kenangan tahun 1990-an
Apabila Anwar dipecat jawatan
Negara dilanda rusuhan jalanan
Harapan rakyat negara ini terus aman.’


Sumber Artikel: BHarian

26 September - Sebutan semula kes pengawal secara paksa menanggal dan koyakkan baju mahasiswi UMS

ARSHAD (dua dari kanan)

KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes cubaan rogol melibatkan seorang pengawal keselamatan sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negeri ini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan keputusan itu selepas menerima permohonan tarikh baharu daripada peguam tertuduh yang diwakili Shahlan Jufri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Arshad Masdin, 26, sebagai pengawal keselamatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah secara paksa menanggal dan mengoyakkan baju mangsa melibatkan seorang wanita yang berusia 18 tahun.

Kejadian dilakukan tertuduh di dalam bilik asrama pelajar terbabit di UMS pada pukul 12.30 tengah malam, 15 Julai lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendak disebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip manakala tertuduh diwakili peguam Shahlan dan Mohd. Hafiz Lokman.

Rustam memberitahu mahkamah dokumen bicara telah diserahkan untuk prosiding bagaimanapun, pihak pendakwaan masih menunggu laporan penuh daripada jabatan kimia.

Pada 26 Julai lalu, Arshad diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan merogol mahasiswi UMS dalam kejadian pada Julai lalu.

Sementara itu, tujuh gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada alumni dan mahasiswa UMS giat memperjuangkan nasib mangsa dengan menuntut tindakan setimpal dikenakan terhadap tertuduh. - K! ONLINE

RM10 juta biasiswa disediakan TNB kepada 1,000 pelajar ijazah pertama

Sejak 1993 TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional memperuntukkan lebih RM1 bilion sebagai biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada 11,000 pelajar cemerlang.

Leo Moggie. Gambar: thesundaily.my

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan biasiswa bernilai RM10 juta kepada 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Leo Moggie berkata pemberian biasiswa khas itu disasarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Buat permulaan, biasiswa ’My Brighter Future’ ini diberikan kepada 1,000 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan biasiswa, di sini, hari ini.

Sejak 1993, TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional memperuntukkan lebih RM1 bilion sebagai biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada 11,000 pelajar cemerlang.

Moggie berharap bantuan kewangan itu akan membantu keluarga berkenaan membiayai kos pendidikan anak-anak dan membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Sumber: Bernama

Kerajaan belum membincangkan status Baucer Buku 1Malaysia

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu bergantung kepada bajet dan akan diumumkan menteri pendidikan.

BB1M. Sekadar gambar hiasan

Baucer Buku 1Malaysia diperkenalkan sejak 2012, di mana setiap pelajar yang layak akan menerima baucer RM200 yang dinaikkan kepada RM250 pada 2013. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan belum memutuskan sama ada akan meneruskan pemberian Baucer Buku 1Malaysia kepada pelajar universiti dan pra universiti yang layak pada tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya belum membincangkan status baucer itu yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

“Kita (kementerian) belum buat apa-apa perbincangan mengenai perkara ini, semua akan bergantung kepada bajet dan sebarang pengumuman berhubung baucer tersebut akan dibuat oleh menteri pendidikan sendiri,” katanya selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof Abdul Rahman Omar.


Teo mengulas status baucer itu susulan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurangkan perbelanjaan negara, termasuk bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti diumumkan Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Baucer buku yang diperkenalkan sejak 2012 itu diberikan kepada pelajar yang layak, di mana setiap pelajar menerima baucer bernilai RM200 sebelum bantuan itu dinaikkan kepada RM250 pada 2013.

Sementara itu, Teo dalam ucapannya menyeru semua pihak, termasuk pemain industri pendidikan menguasai bidang sains dan teknologi dalam usaha menjayakan tranformasi pendidikan negara.

Katanya, langkah itu perlu supaya masyarakat Malaysia menjadi sebuah bangsa yang mampu mencipta, meneroka dan menginovasi produk serta perkhidmatan, sekaligus dapat mengharungi cabaran di peringkat gobal.

“Pemikiran lama sebagai bangsa pengguna atau penerima teknologi harus diubah kepada bangsa yang mencipta, meneroka dan menginovasi.”

Sumber: Bernama